RSS

Saturday, 7 January 2012

Rasulullah menerima wahyu dan kelahiran Islam

     Menjelang umur baginda Rasulullah s.a.w telah mulai mengasingkan diri dari keluarganya serta masyarakat Arab Jahiliyah yang menyembah berhala serta melakukan perbuatan jahat. Baginda telah berulang-alik ke Gua Hira yang terletak tidak jauh dari Bandar Mekah untuk beribadah menurut agama nabi s.a.w
Gua Hira' 
     Enam bulan kemudian Rasulullah s.a.w telah didatangi Jibril a.s ( Malaikat pembawa wahyu ) membawa wahyu yang telah merasmikan Rasulullah s.a.w menjadi nabi. Pada mulanya Jibril a.s menyuruh Rasulullah membaca. Katanya : " Bacalah ". Rasulullah menjawab : " Saya tidak tahu membaca ". Lalu Jibril a.s memeluk baginda kuat-kuat sehingga baginda terasa bagaikan lemas akibat pelukan tersebut. Kemudian Jibril a.s melepaskan pelukan itu dan berkata : Bacalah. Jawab Rasulullah s.a.w " Saya tidak boleh membaca ", sekali lagi Jibril a.s memeluk baginda sebagaimana yang dinyatakan tadi kemudian dilepaskan dan berkata lagi : " Bacalah ". Jawab Rasulullah s.a.w : " Saya tidak tahu membaca ". Jibril a.s lantas memeluk baginda sekali lagi dan setelah dilepaskannya baginda, Jibril mengatakan : 

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ,  خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ,  اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ,الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ, عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Ertinya : Bacalah ( wahai Muhammad ) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan ( sekalian makhluk ), Dialah yang menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah ! dan Tuhanmu amat pemurah yang telah mengajar dengan pena, Tuhan yang mengajarkan manusia sesuatu yang yang ia tidak mengetahui.

Surah Al-Alaq ( 1-5 ) merupakan surah pertama yang diturunkan
     Selepas Jibril menghilangkan diri, Rasulullah s.a.w pun segera pulang menemui Khadijah dan minta diselimutkan badannya bagi menghilangkan perasaan cemas dan bimbang. Apabila perasaan itu hilang, maka Rasulullah s.a.w telah menceritakan peristiwa yang berlaku di Gua Hira' kepada isterinya Khadijah. Bagi menhilangkan perasaan takut baginda, Khadijah telah menghiburkan hatinya dengan berkata : " Jangan takut kanda, Tuhan tentu tidak akan manyusahkan kanda. Bukankah kekanda seorang yang baik, suka menolong orang dan suka memberi makan kepada tetamu serta menyokong segala kebenaran."

     Tidak beberapa lama kemudian, Khadijah telah membawa suaminya berjumpa dengan Waraqah bin Naufal yang merupakan sepupunya yang menghafaz ayat-ayat Kitab Injil dan mengetahui sejarah purbakala. Setelah mendengar cerita Rasulullah s.a.w, Waraqah berkata, " Itulah Jibrill a.s, pembawa wahyu kepada nabi Musa dahulu. Alangkah baiknya nasibku sekiranya aku masih muda dikala engkau diusir oleh kaum kafir,". Maka Rasulullah s.a.w bertanya kepada Waraqah, " Benarkah mereka akan mengusir saya ?, ". " Ya. Tidak pernah ada orang yang membuat sesuatu sebagaimana yang engkau buat melainkan dimusuhi orang. Kalaulah aku hidup ketika itu akan kutolong engkau dengan bersungguh-sungguh," jawab Waraqah.

     Empat puluh hari kemudian dan setelah Rasulullah s.a.w terasa sangat ingin hendak menerima wahyu yang lain, maka tiba-tiba ketika Rasulullah s.a.w hendak mendaki bukit cahaya menuju ketempat ibadatnya, Gua Hira' baginda melihat rupa Jibril a.s terlayang-layang di udara lalu Rasulullah s.a.w terus balik dan pergi mendapatkan Khadijah serta menyuruhnya menyelimuti badannya dengan selimut tebal dan sebaik-baik sahaja Rasulullah s.a.w diselimutkan, maka turunlah ayat ini :

    يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ,  قُمْ فَأَنذِرْ, وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ, وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ, وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ, وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ

Ertinya : Hai ( Muhammad ) orang yang berselimut, Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada umat manusia ), Dan Tuhanmu agungkanlah, Dan pakaianmu bersihkanlah, Dan perbuatan dosa ( menyembah berhala ) tinggalkanlah, Dan janganlah kamu memberi ( dengan maksud ) memperoleh ( balasan ) yang lebih banyak.


      Dengan ayat-ayat inilah Rasulullah s.a.w telah ditugaskan menjadi Rasul untuk menyampaikan kepada umatnya segala perintah Allah s.w.t dan segala ajaran-ajaranNya.

No comments:

Post a Comment