RSS

Sunday, 8 January 2012

Seruan Islam dan penentangan-penentangan terhadapnya

     Setelah menerima ayat kedua yang diturunkan, Rasulullah s.a.w mulailah menyeru orang-orang yang rapat dengannya serta orang yang akan menerima serta mendukung seruan Islam dan berjayalah baginda mengislamkan isterinya Khadijah, sepupunya Ali, hambanya Zaid dan sahabat karibnya Abu Bakar As-Siddiq yang berjaya pula mengislamkan Usman bin Affan, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas, Abdul Rahman bin 'Auf dan Talhah bin Abdullah. Turut memeluk Islam juga adalah Abu Ubaidah bin Al-Kharaj dan Arqam bin Abi Al-Arqam yang telah menjadikan rumahnya " Darul Arqam " sebagai pusat penerangan agama secara sulit, mereka-mereka yang telah menyahut seruan Islam peringkat pertama ini diberi gelaran sebagai  orang-orang Islam yang ulung menganut Islam ( Al-Sabaqun Al-Awwalun )
Muhammad Rasulullah


     Lebih kurang tiga tahun ( Rasulullah s.aw  menerima secara sulit secara perseorangan, turunlah pula ayat-ayat yang memerintahnya supaya berterus-terang kepada umum dan memberi ingatan ( amaran ) kepada kaum keluarganya yang di Mekah sebagaimana ayat ini :


فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ

Ertinya : Oleh itu sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu ( Wahai Muhammad ), dan janganlah  engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. [ Al-Hijr, 94 ]

Dan
وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ, وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ, فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تَعْمَلُونَ

Ertinya : Dan hendaklah engkau ( Wahai Muhammad ) merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman, Kemudian jika mereka berlaku ingkar maka katakanlah " Sesungguhnya aku tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu kerjakan". [ Ash-Shua'ra', 214 - 216 ]

Maka dengan turunnya ayat-ayat ini Rasulullah s.a.w pun menyerulah kaum-kaumnya secara terang-terangan tanpa mempedulikan sesuatu. Sebagai kesan kepada seruan-seruan tersebut maka bertambahlah bilangan penganut agama Islam dan orang-orang Quraisy yang keras kepala mulailah memusuhi Islam dan penganut-penganutnya. Walaubagaimanapun seruan Nabi Muhammad s.a.w terus menerus mendapat kejayaan. Akhirnya orang-orang Quraisy bertindak menyiksa pengikut-pengikut Islam yang terdiri dari hamba abdi dan orang-orang miskin dengan bermacam cara yang mana sesetengah dari orang-orang mukmin yang diseksa itu  terkorban dan mati syahid  atau sempat diselamatkan oleh Abu Bakar Asy-Syiddiq dengan wang ringgitnya dan setengahnya yang tidak dapat menahan siksaan lalu mengucap perkataan-perkataan kufur  supaya terlepas dari penyeksaan ngeri sedangkan hati mereka tetap dalam keimanan.

     Setakat ini tindakan-tindakan keras hanya ditujukan kepada pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w. Adapun kejayaan yang dicapai oleh baginda Rasulullah s.a.w dan seruannya, maka orang-orang musyrikin berasa khuatir dan bimbang selagi Rasulullah s.a.w terbiar selama itulah seruan Islam akan terus berkembang. Lalu mereka pun menghantar rombongan demi rombongan untuk berunding dengan Abu Talib  supaya memberhentikan  enak saudaranya dari menyeru kepada agama yang mereka tidak ingini itu.


     Dengan desakan dan ugutan mereka itulah Abu Talib terpaksa menghadapi Rasulullah s.a.w dengan berkata " Hai anak saudaraku !. Kaummu telah mendatangi aku, mengugut hendak berperang melawan keluarga kita ataupun engkau berhenti dari seruan Islam ",. Rasulullah  menjawab " Wahai bapa saudaraku, sekiranya mereke meletakkan matahari di tangan kananku  dan bulan di tangan kiriku supaya aku tinggalkan seruan ini, nescaya tidak aku tinggalkan melainkan sesudah seruan ini berjaya atau aku sendiri yang binasa ".


     Kemudian Rasulullah s.a.w beredar dari tempat bapa saudaranya dengan linangan air mata tetapi Abu Talib segera memanggilnya semula dan berkata " Sebenarnya aku tidak akan menyerahmu kepada mereka, buatlah ikut kehendak hatimu".


     Dari jawapan Rasulullah s.a.w kepada Abu Talib dan kata-kata terakhir dari bapa saudaranya itu ternyata tetapnya pendirian Rasulullah s.a.w dalam tindakannya hendak mengembangkan seruan Islam dan bagaimana  beraninya baginda menghadapai sebarang ancaman musuh-musuh ke atas dirinya.

Saturday, 7 January 2012

Rasulullah menerima wahyu dan kelahiran Islam

     Menjelang umur baginda Rasulullah s.a.w telah mulai mengasingkan diri dari keluarganya serta masyarakat Arab Jahiliyah yang menyembah berhala serta melakukan perbuatan jahat. Baginda telah berulang-alik ke Gua Hira yang terletak tidak jauh dari Bandar Mekah untuk beribadah menurut agama nabi s.a.w
Gua Hira' 
     Enam bulan kemudian Rasulullah s.a.w telah didatangi Jibril a.s ( Malaikat pembawa wahyu ) membawa wahyu yang telah merasmikan Rasulullah s.a.w menjadi nabi. Pada mulanya Jibril a.s menyuruh Rasulullah membaca. Katanya : " Bacalah ". Rasulullah menjawab : " Saya tidak tahu membaca ". Lalu Jibril a.s memeluk baginda kuat-kuat sehingga baginda terasa bagaikan lemas akibat pelukan tersebut. Kemudian Jibril a.s melepaskan pelukan itu dan berkata : Bacalah. Jawab Rasulullah s.a.w " Saya tidak boleh membaca ", sekali lagi Jibril a.s memeluk baginda sebagaimana yang dinyatakan tadi kemudian dilepaskan dan berkata lagi : " Bacalah ". Jawab Rasulullah s.a.w : " Saya tidak tahu membaca ". Jibril a.s lantas memeluk baginda sekali lagi dan setelah dilepaskannya baginda, Jibril mengatakan : 

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ,  خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ,  اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ,الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ, عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Ertinya : Bacalah ( wahai Muhammad ) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan ( sekalian makhluk ), Dialah yang menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah ! dan Tuhanmu amat pemurah yang telah mengajar dengan pena, Tuhan yang mengajarkan manusia sesuatu yang yang ia tidak mengetahui.

Surah Al-Alaq ( 1-5 ) merupakan surah pertama yang diturunkan
     Selepas Jibril menghilangkan diri, Rasulullah s.a.w pun segera pulang menemui Khadijah dan minta diselimutkan badannya bagi menghilangkan perasaan cemas dan bimbang. Apabila perasaan itu hilang, maka Rasulullah s.a.w telah menceritakan peristiwa yang berlaku di Gua Hira' kepada isterinya Khadijah. Bagi menhilangkan perasaan takut baginda, Khadijah telah menghiburkan hatinya dengan berkata : " Jangan takut kanda, Tuhan tentu tidak akan manyusahkan kanda. Bukankah kekanda seorang yang baik, suka menolong orang dan suka memberi makan kepada tetamu serta menyokong segala kebenaran."

     Tidak beberapa lama kemudian, Khadijah telah membawa suaminya berjumpa dengan Waraqah bin Naufal yang merupakan sepupunya yang menghafaz ayat-ayat Kitab Injil dan mengetahui sejarah purbakala. Setelah mendengar cerita Rasulullah s.a.w, Waraqah berkata, " Itulah Jibrill a.s, pembawa wahyu kepada nabi Musa dahulu. Alangkah baiknya nasibku sekiranya aku masih muda dikala engkau diusir oleh kaum kafir,". Maka Rasulullah s.a.w bertanya kepada Waraqah, " Benarkah mereka akan mengusir saya ?, ". " Ya. Tidak pernah ada orang yang membuat sesuatu sebagaimana yang engkau buat melainkan dimusuhi orang. Kalaulah aku hidup ketika itu akan kutolong engkau dengan bersungguh-sungguh," jawab Waraqah.

     Empat puluh hari kemudian dan setelah Rasulullah s.a.w terasa sangat ingin hendak menerima wahyu yang lain, maka tiba-tiba ketika Rasulullah s.a.w hendak mendaki bukit cahaya menuju ketempat ibadatnya, Gua Hira' baginda melihat rupa Jibril a.s terlayang-layang di udara lalu Rasulullah s.a.w terus balik dan pergi mendapatkan Khadijah serta menyuruhnya menyelimuti badannya dengan selimut tebal dan sebaik-baik sahaja Rasulullah s.a.w diselimutkan, maka turunlah ayat ini :

    يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ,  قُمْ فَأَنذِرْ, وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ, وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ, وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ, وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ

Ertinya : Hai ( Muhammad ) orang yang berselimut, Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada umat manusia ), Dan Tuhanmu agungkanlah, Dan pakaianmu bersihkanlah, Dan perbuatan dosa ( menyembah berhala ) tinggalkanlah, Dan janganlah kamu memberi ( dengan maksud ) memperoleh ( balasan ) yang lebih banyak.


      Dengan ayat-ayat inilah Rasulullah s.a.w telah ditugaskan menjadi Rasul untuk menyampaikan kepada umatnya segala perintah Allah s.w.t dan segala ajaran-ajaranNya.

Rasulullah dimasa kecil dan muda - Siri 2

[ Sambungan dari Siri 1 ]
     Maka timbullah keinginan Siti Khadijah hendak bersuamikan Rasulullah s.a.w dan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, maka berlakulah perkahwinan di antara Khadijah yang berumur 40 tahun dan Muhammad yang berumur 25 tahun ketika itu. Bahtera perkongsian hidup mereka selamat dilayari dengan penuh kebahgiaan dan dikurniakan Allah enam orang cahaya mata iaitu empat orang puteri dan dua orang putera.
Hajarul Aswad ( Batu Hitam )
     Ketika Rasulullah s.a.w berumur 35 tahun berlakulah suatu peristiwa yang menunjukkan betapa bijaknya Rasulullah s.a.w melaksanakan dasar keadilan bagi menyelesaikan pertelingkahan besar antara suku-suku Quraisy tentang siapakah yang lebih berhak meletakkan Hajjarul Aswad ( Batu Hitam ) di tempat asal dibangunan Kaabah yang baru diperbaiki. Maka dengan kebijaksanaannya terhindarlah pertumpahan darah yang nyaris-nyaris berlaku antara suku itu.
     Sejak muda hingga umurnya hampir-hampir 40 tahun, Rasulullah s.a.w adalah seorang pemuda yang sangat dikasihi dan dipercayai oleh semua yang mengenalinya kerana tingkah lakunya yang baik, budi pekerti yang mulia, peramah serta murah hati. Baginda juga suka menolong orang yang susah serta hormat kepada orang tua. Rasulullah juga tidak pernah berdusta atau khianat serta mungkir janji hingga baginda digelar " Al-Amin " yang membawa maksud jujur atau yang dipercayai. Selain daripada itu baginda juga terpelihara dari perkara-perkara yang dilakukan oleh orang sebayanya seperti berjudi, minum minuman keras serta menyembah berhala kerana baginda memang bencikan perkara tersebut.

Rasulullah dimasa kecil dan muda - Siri 1

     Ketika Abdul Mutalib hampir wafat, beliau telah mewasiatkan supaya Abu Talib supaya memelihara Muhammad dan mengawalnya dari segala ancaman dan bahaya. Dalam pemeliharaan bapa saudaranya Rasulullah yang pernah memelihara kambing bersama anak-anak Halimah di dataran Bani Sa'ad, telah mengambil upah memelihara kambing penduduk Mekah bagi meringankan beban bapa saudaranya Abu Talib yang mempunyai anak-anak yang ramai disampinf kekurangan pendapatan. Meskipun diwaktu itu Abu Talib merupakan ketua Quraisy yang memerintah Mekah.
Mengembala merupakan pekerjaan Nabi Muhammad s.a.w
     Sewaktu Rasulullah s.a.w berumur lebih kurang dua belas tahun, Abu Talib telah membawa baginda ke negara Syam dan disana baginda dijumpai oleh seorang rahib ( paderi ) Yahudi yang mengenali dari tanda-tanda yang tertentu bahawa baginda adalah bakal pemimpin yang akan mempunyai darjat. Lalu dinasihatkannya kepada Abu Talib supaya membawa baginda pulang dan menjaganya baik-baik. Setelah barang perniagaan selesai diuruskan, Abu Talib pun segera membawa anak saudaranya itu kembali ke Mekah.

     Di Mekah, Rasulullah meneruskan hidupnya dengan berniaga dan kadang-kadang berkongsi dengan kawannya yang bernama Al-Saib sehinggalah beliau menjadi dewasa dan umurnya meningkat lebih dua puluh tahun. Pada suatu ketika Abu Talib mencadangkan kepada baginda supaya cuba menjalankan perniagaan secara besar-besaran dengan modal seorang janda yang bernama Khadijah binti Khuwailid seorang bangsawan Quraisy yang terkenal dangan kekayaan dan kebaikan peribadinya.

     Dengan perkiraan Abu Talib sendiri Rasulullah telah dapat pergi ke Syam mengendalikan barang dagangan yang dimulakan oleh hartawan Khadijah dengan ditemani oleh Maisarah, orang kepercayaannya. Dengan perniagaan inilah Rasulullah s.a.w mendapat keuntungan berlipat-lipat ganda. Keuntungan ini menjadikan majikan baginda tertarik hati kepada nya lebih-lebih lagi apabila Maisarah menceritakan tentang kebaikan peribadi Muhammad dan peramahnya disepanjang pergi dan balik angkatan perniagaan itu. [ Bersambung .... ]

Keturunan Rasulullah s.a.w serta kelahirannya

     Abdul Mutalib bin Hashim merupakan ketua yang memerintah Mekah telah menyunting Aminah binti Wahab dari suku Quraisy untuk dijadikan isteri kepada anakanda yang disayanginya iaitu Abdullah. Beberapa bulan setelah mereka berkahwin, Abdullah keluar hendak berniaga kenegara Syam tetapi malangnya dalam pemergiannya itu, beliau telah ditimpa sakit lalu wafat di Madinah dan dikuburkan disana sedangkan Aminah di Mekah telah mengandung baginda Rasulullah s.a.w yang kandungannya baru berusia dua bulan.
Rumah kelahiran nabi yang kini telah menjadi perpustakaan


     Pada Subuh hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi, Rasulullah s.a.w telah dilahirkan dirumah bapa saudaranya Abu Talib sebagai anak yatim. Sebaik-baik Abdul Mutalib mendengar berita keputeraan baginda, beliau  begitu gembira dan keesokkan harinya datang melihat cucundanya serta menamakannya " Muhammad " yang membawa maksud terpuji dengan harapan cucundanya itu akan senantiasa dipuji orang dan rangkaian keturunan adalah seperti berikut :

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf binQusai bin Hakim@Kilab.

Manakala ibunya pula ialah :

Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zahrah bin Hakim @ Kilab 
Rangkaian ringkas keturunan Rasulullah s.a.w
     Setelah ibundanya menyusukan beberapa kali dan Suwaibah Al-aslamiyah menyusukan baginda lebih kurang dua bulan maka Rasulullah s.a.w diserahkan kepada Halimah yang datang dari Bani Sa'ad untuk disusukan dan dipeliharakan dengan upah yang tertentu, dan setelah berumur empat tahun barulah Rasulullah s.a.w diserahkan kembali kepada ibundanya.
     Menurut kebiasaan, tiap-tiap tahun Aminah pergi ke Madinah bersama-sama Abdul Mutalib kerana menziarahi kubur suaminya, Abdullah. Semasa Rasulullah s.a.w berumur enam tahun baginda telah dibawa oleh ibundanya pergi ke Madinah untuk menziarahi kubur ayahandanya. Dalam perjalanan pulang ke Mekah tiba-tiba ibundanya diserang penyakit lalu wafat dan dikuburkan disuatu tempat bernama " Abwa' " yang terletak diantara Mekah dan Madinah dan baginda Rasulullah s.a.w pun dipelihara oleh datuknya, Abdul Mutalib. 

Kota Mekah sebelum Islam

     Di antara bandar-bandar yang terkenal di semenanjung tanah Arab di zaman Jahiliyah ( sebelum Islam ) bandar Mekahlah merupakan bandar yang sangat masyhur serta dihormati oleh seluruh bangsa Arab kerana kedudukannya yang penting sebagai pusat agama berhala, pusat perniagaan dan pusat penyebaran kebudayaan Arab kerana ianya terletak ditengah-tengah jalan antara daerah selatan dan utara semenanjung tanah arab.

Peta menunjukkan pentingnya bandar Mekah sebelum Islam
     Tiap-tiap tahun orang-orang Arab dari berbagai suku mengunjungi Mekah kerana mengerjakan ibadat haji menurut agama mereka dan memuja berhala yang banyak dibangunkan di Kaabah yang tersergam di tengah-tengah bandar Mekah disamping membeli-belah dan menyebar kebudayaan masing-masing. Penduduk-penduduk Mekah juga selalu melakukan pelayaran perniagaan keluar daerah dalam dua musim, iaitu dalam musim sejuk ke negeri Yaman dan dalam musim panas ke negeri Syam

     Golongan-golongan yang memerintah sentiasa memberi kemudahan-kemudahan  kepada orang-orang yang mengunjungi Mekah dengan menyediakan bekalan air, makananan serta perlindungan kepada merekan yang membuat salah di tempat-tempat lain.

Foto menunjukkan suasana Mekah suatu ketika dahulu.
     Pentadbiran Mekah dikuasai oleh tidak lain dari suku Quraisy yang diketuai oleh Abdul Mutalib iaitu merupakan  datuk Rasulullah s.a.w. Setelah itu pemerintahan itu diteruskan oleh Abu Talib dan diakhiri oleh Abbas. Kedua-duanya merupakan bapa saudara Rasulullah s.a.w. Jawatan ketua Mekah dikuasai turun-temurun dari Qusai bin Hakim @ Kilab yang merupakan datuk keempat dalam rangkaian keturunan Rasulullah s.a.w.